message bm

Message from Chairman

 

Ahli-ahli Kelab yang dihormati,
Saya amat sukacita kerana dapat memberi sepatah dua kata sempena terbitan ulung BERITA ALUMNI. Saya anggap penerbitan ini merupakan peristiwa penting dalam usia muda Kelab kita yang telah didaftarkan pada 1 April 2011.
Saya harap berita Alumni ini dapat mencapai objektifnya untuk menyampaikan berita dan maklumat penting dan berguna berkaitan kemudahan, aktiviti dan maklumat terkini Kelab dan ahli-ahli serta maklumat terkini peristiwa-peritiwa mengenai alma mater kita - Bank Negara Malaysia. Melalui saluran ini dan cara-cara lain, kita berharap akan dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli dan membina ikatan yang berpanjangan dengan alma mater kita.
Usaha menambah keahlian menjadi keutamaan Jawatankuasa Eksekutif semenjak Kelab ditubuhkan. Ini bukanlah kerja yang mudah kerana ramai di antara pesara BNM menetap di luar bandar dan negeri yang berlainan. Setakat ini, kita hanya dapat mengumpul keahlian seramai 60 orang sahaja, satu jumlah yang kecil berbanding dengan bilangan bekas kakitangan BNM.
Saya menyeru agar ahli-ahli Kelab Alumni dapat membantu mempertingkatkan jumlah keahlian Kelab. Ahli-ahli Kelab dapat menikmati banyak kemudahan yang ditawarkan oleh pihak pengurusan BNM seperti yang telah disenaraikan di muka hadapan berita Alumni. Dengan kemudahan-kemudahan yang sedia ada dan akan sentiasa ditambah, sudah tentu menjadi ahli Kelab merupakan satu langkah yang bijak.
Sempena dengan penerbitan ulung berita Alumni ini, saya bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif dan ahli-ahli Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan BNM, terutama sekali Gabenor Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz di atas kerjasama dan sokongan sehingga lahirnya Kelab ini. Sokongan telah diberi dalam berbagai bentuk, antaranya ialah menyediakan ruang pejabat untuk operasi Kelab dan kemudahan rekreasi dan kafeteria untuk ahli-ahli Kelab di Lanai Kijang. Tanpa kerjasama dan sokongan pihak pengurusan BNM, adalah mustahil Kelab kita dapat diwujudkan.
Akhir kata, saya mendoakan semoga ahli-ahli semua senantiasa berada dalam kesejahteraan dan berjaya dalam lapangan yang diceburi di masa hadapan. Saya juga berharap ahli-ahli semua dapat memberikan sokongan dan mengambil bahagian aktif dalam aktiviti-aktiviti Kelab di tahun-tahun akan datang.
Sekian, terima kasih.

 

Tan Sri Basir Ahmad,
Pengerusi Kelab Alumni Bank Negara Malaysia

YBhg. Tan Sri Mohamed Basir Bin Ahmad
Pengerusi